SELANGOR FC
BERITA

Reviu Perlawanan LS11 | Terengganu FC 0-1 Selangor FC | 3 Mata Penting Dari Tempat Lawan

Sep 29, 2024 - FAS

Selangor FC membawa tiga mata penting dari Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dengan kemenangan tanpa bolos, 1-0 menentang Terengganu FC dalam saingan Liga Super 2024/25 semalam.

Penyerang import Selangor FC, Ronnie Fernandez sekali lagi telah menjadi penjaring gol pembukaan. Beliau hanya memerlukan 28 saat sahaja untuk meledak gol tunggal Gergasi Merah, gerakan yang dimulakan daripada Safuwan Baharudin yang berjaya merampas bola sebelum dikutip oleh Alvin Fortes, kemudian Ronnie Fernandez membuat hantaran 1-2 dengan Yohandry Orozco sebelum beliau menyudahkan gol tersebut. Barisan serangan Skuad Gergasi Merah berjaya membuat beberapa percubaan begitu juga skuad Sang Penyu tetapi kemenangan memihak kepada Gergasi Merah hasil daripada gol tunggal Ronnie Fernandez tersebut.

Ketua Jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil, gembira dengan kemenangan di tempat lawan dan merasakan tiga mata ini mampu menambah motivasi kepada pemain. 

“Secara jujurnya ini kemenangan yang penting untuk pasukan kerana sebelum ini kita jarang dapatkan kemenangan di perlawanan tempat lawan, ini sedikit sebanyak meningkat motivasi para pemain. Untuk menang di Terengganu bukanlah satu perkara yang mudah kerana mereka sentiasa berikan saingan yang tinggi sepanjang 90 minit beraksi. Kalau bercakap tentang nasib, dalam sukan adalah persiapan dan kerja keras. Saya percaya kami telah membuat persiapan yang rapi dan kita bekerja keras untuk dapatkan kemenangan ini. Saya gemar mengatakan ini semua hasil kerja keras para pemain. Suka untuk saya ingatkan, di Selangor, bukan sahaja siapa yang memulakan perlawanan tetapi siapa yang menghabiskan perlawanan. Pertukaran yang dilakukan amatlah penting. Saya gembira dengan semangat dan corak permainan pemain-pemain gantian bawa pada malam ini,” jelas Nidzam Jamil.

Daripada perlawanan #TERSFC dalam saingan Liga Super 2024/25 semalam, beberapa perkara penting dapat dilihat, seperti:-

Azim Al Amin terus cemerlang

Penjaga gawang muda Selangor FC terus mempamerkan aski cemerlangnya dalam perlawanan semalam. Beliau cekap menjaga gawang Gergasi Merah daripada dibolosi pasukan lawan biarpun setiap percubaan mereka memberi ancaman kepada beliau. 

Disiplin barisan pertahanan

Percubaan dan larian-larian bahaya daripada Terengganu FC berjaya dipatahkan oleh barisan pertahanan dengan penuh berdisiplin terutama sekali dua centerback, Umarbek Eshmurodov dan Harith Haiqal serta Sharul Nazeem di bahagian kanan dan Zikri Khalili di bahagian kiri pertahanan. Tidak lupa juga dengan kemasukan Khuzaimi Piee yang dipuji akan dedikasinya biarpun sudah lama tidak beraksi.

Yohandry Orozco MoTM #TERSFC

Selangor FC telah memilih Yohandry Orozco sebagai MoTM perlawanan ini. Beliau cukup dikenali dengan hantaran-hantaran tepat yang mampu membawa kepada jaringan gol. Orozco sekali lagi membuktikan kemahiran beliau selepas hantarannya membantu Ronnie Fernandez menjaringkan gol seawal 28 saat perlawanan dijalankan.

Ronnie Fernandez mengejar jaringan

Penyerang Gergasi Merah, Ronnie Fernandez kini berada di tempat kedua dalam senarai Penjaring Terbanyak Liga Super 2024/25 dengan lapan jaringan gol termasuk gol perlawanan #TERSFC. Biarpun bermula dengan lambat tetapi beliau kini terus menjaringkan gol secara konsisten dalam setiap perlawanan.

Perlawanan seterusnya bakal menyaksikan Selangor FC menerima kunjungan kelab dari negara Filipina, Dynamic Herb Cebu FC untuk perlawanan kedua pentas ACL2 di Stadium MBPJ pada 3 Oktober ini jam 8 malam waktu tempatan.

Selangor FC ingin berterima kasih kepada para penyokong yang ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin atas sokongan padu anda.

Pihak pengurusan Selangor FC gembira dengan kemenangan di tempat lawan ini dan berharap pasukan terus konsisten untuk membawa nama kelab ini terus berada di atas. 

Demi Kebanggaan!